Sauna

Ini 5 Manfaat Sebenar Sauna Pada Kesihatan.

2024-01-10

Ini 5 Manfaat Sebenar Sauna Pada Kesihatan. | KITA VIRAL : Pernahkah anda mencuba aktiviti sauna? Tahukah anda bahawa terdapat beberapa manfaat dan kebaikan sauna yang ramai tidak tahu. Tetapi, sauna berapa kali seminggu ya? Ikuti penerangan mengenai kebaikan serta bilangan sauna yang boleh anda ikuti.

Manfaat

Apa kebaikan sauna? Ketahui dahulu apa itu sauna

Sauna merupakan satu ruangan atau bilik kecil yang dipanaskan dengan suhu antara 70 hingga 100 darjah Celsius. Ia biasanya digunakan bagi menenangkan diri dalam suhu panas yang kering. Aktiviti sauna akan menaikkan suhu kulit kita sekali gus menyebabkan kita banyak berpeluh.

Ia dianggap sebagai salah satu terapi untuk menenangkan diri yang telah diamalkan sejak ribuan tahun lampau sehingga kini. Terdapat pelbagai jenis sauna di dunia seperti sauna Finland dan juga sauna Turki.

JENIS-JENIS SAUNA

Terdapat beberapa kaedah, jenis atau cara sauna dilakukan. Namun, yang paling biasa adalah empat jenis ini:

PEMANASAN ELEKTRIK

Sauna dengan penggunaan elektrik mempunyai suhu tinggi dengan kelembapan yang rendah. Satu pemanas elektrik diletakkan pada lantai bilik sauna untuk memanaskannya.

PEMBAKARAN KAYU

Kayu yang dibakar merupakan antara kaedah klasik bagi memanaskan bilik dan batu sauna. Sama seperti elektrik, ia mempunyai suhu tinggi dengan kelembapan yang rendah.

BILIK WAP

Kaedah ini sedikit berbeza daripada bilik sauna biasa. Ini kerana, ia mempunyai tahap kelembapan yang agak tinggi dan menjadikan rasa hangat yang agak lembap.

BILIK INFRARED

Bilik ini menggunakan gelombang cahaya infra untuk memanaskan tubuh individu, dan bukannya keseluruhan bilik tersebut

KEBAIKAN SAUNA YANG ANDA MUNGKIN TERTARIK

Apabila anda mula memasuki bilik sauna, suhu kulit akan meningkat selain degup jantung juga bertambah. Dalam masa yang sama, saluran darah juga akan mula mengembang. Ini kerana, jantung akan mula mengepam lebih banyak darah.

Antara kelebihan sauna kepada kesihatan kita ialah:

1. MEMBERIKAN KETENANGAN

Sauna telah lama digunakan secara tradisional untuk menghasilkan rasa relaks atau tenang. Apabila degupan jantung anda meningkat dan saluran darah mengembang, terdapat peningkatan dalam aliran darah ke bahagian kulit. Oleh itu, sauna juga boleh meningkatkan peredaran darah dalam badan. Kesan relaksasi ini adalah salah satu faedah terbesar menggunakan sauna. Untuk memberikan lebih banyak kesan relaks, anda boleh cuba melakukan meditasi semasa berada di dalam bilik sauna.

2. MELEGAKAN KESAKITAN

Menggunakan sauna kering boleh membuatkan anda rasa lebih bertenaga. Memandangkan saluran darah akan mengendur dan mengembang semasa anda berada di sauna, aliran darah akan meningkat dan ia boleh membantu mengurangkan ketegangan pada sendi dan melegakan otot yang sakit. Sauna juga mungkin membantu mereka yang mengalami sakit kronik dan arthritis.

Kajian pada tahun 2008 terhadap individu yang mempunyai penyakit muskuloskeletal kronik, termasuklah arthritis rheumatoid dan ankylosing spondylitis mendapati bahawa, sesi sauna mengurangkan kesakitan, kekakuan dan keletihan selama 4 minggu.

3. BAIKI MASALAH KULIT

Sauna kering boleh mengeringkan kulit sewaktu anda menggunakannya. Sesetengah penghidap psoriasis mungkin mendapati bahawa simptom yang dialami mereka berkurangan sewaktu menggunakan sauna. Namun, ia tidak sesuai kepada pesakit dermatitis atopik kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan kulit sedia ada.

4. TINGKATKAN KESIHATAN KARDIOVASKULAR

Ada satu kajian di Finland yang melihat kepada kelebihan sauna untuk lelaki. Kajian selama 20 tahun tersebut melibatkan seramai 2,315 orang lelaki yang berumur 42 hingga 60 tahun. Hasil kajian menunjukkan bahawa, mereka yang menggunakan sauna mungkin mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mengalami kematian disebabkan penyakit kardiovaskular. Namun, lebih banyak lagi kajian diperlukan untuk melihat hubungan yang jelas antara penggunaan sauna dan juga kesan pengurangan risiko kematian ini.

5. BOLEH MEMBANTU PENYAKIT ASMA

Tahukah anda, antara kebaikan sauna adalah ia mampu membantu pesakit asma. Penghidap asma mungkin akan berasa lebih lega daripada simptom asma yang dialami mereka selepas menggunakan sauna. Ini kerana, sauna mungkin membantu membuka laluan pernafasan, mengeluarkan kahak dan juga mengurangkan tekanan yang dialami.

KESIMPULAN

Kini anda telah tahu kebaikan sauna. Ada yang bertanya, adakah terdapat kelebihan sauna untuk kurus? Untuk makluman anda, tidak terbukti sauna boleh membantu menguruskan badan seperti yang didakwa. Sauna hanya memberikan manfaat kepada anda seperti yang telah kami nyatakan di atas.

Selain itu, sauna berapa kali seminggu? Cukup 3 atau 4 kali seminggu sahaja.

Sumber : Hello Doktor

 

 

Jika anda nak tahu tempat percutian yang menarik boleh ke website kami : TEMPAT PERCUTIAN

Artikel Lain